Puasa di bulan Ramadhan adalah wajib bagi semua umat Islam yang berkuasa tanpa mengira lelaki, perempuan, tua ataupun muda sebagai menyempurnakan rukun Islam yang ketiga. Di samping menunaikan ibadat kepada Allah subhanahu wa ta�ala dengan harapan ganjaran yang dijanjikan, melalui puasa individu muslim itu akan mendapat kekuatan spiritual dan latihan disiplin diri terhadap tuntutan nafsu.
Meskipun setiap orang berkewajipan menunaikan puasa dan janji-janji lipatan pahala Allah adalah besar, namun Islam memberi kelonggaran bagi orang-orang yang tidak mampu mengerjakannya. Di dalam ayat 184, surah al-Baqarah, Allah subhanahu wa ta�ala berfirman: �sesiap a daripada kamu yang sakit ataupun dalam perjalanan (musafir), bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak hari yang dibuka pada hari yang lain.� Ayat di atas merupakan nas yang jelas tentang kekecualian yang diberikan terhadap orang-orang tertentu seperti para musafir dan orang sakit. Kekecualian seperti ini tidak harus digunakan bagi kepentingan peribadi dan duniawi. Bahkan mereka yang berupaya wajib menggantikan puasa yang ditinggalkan dengan cara berpuasa pada hari yang lain. Hanya bagi yang tidak berupaya langsung dibenarkan membayar fidyah. Artikel ini sekadar membicarakan beberapa isu berkaitan masalah kesihatan dan penjagaannya dalam mengharungi bulan puasa agar kita dapat menyempurnakan ibadat yang mulia ini dengan baik. Terlebih dahulu ada baiknya kita bicarakan beberapa perkara berkaitan dengan rawatan, khususnya dalam perubatan moden. Bagi penyakit akut, yang kadang-kadang datang dengan tiba-tiba dan memerlukan pengambilan ubat-ubatan secara oral, wajarlah pesakit mengambil ubat-ubatan yang dipreskripsi. Pesakit harus berbuka puasa sekiranya dengan berpuasa ia boleh menimbulkan komplikasi yang tidak diingini. Di antara penyakit-penyakit akut yang dimaksudkan ialah demam, batuk, sakit kepala, sakit perut dan seumpamanya. Bagaimanapun, adalah baik sekali seandainya doktor perubatan boleh mengatur waktu supaya pesakit boleh terus berpuasa dan mengambil ubat di waktu berbuka atau sebelum imsak. Tetapi janganlah dengan sebab berpuasa menyebabkan penyakit pesakit menjadi lambat sembuh. Jikalau puasa mengganggu proses ke arah kesembuhan ataupun keadaan boleh memudaratkan si pesakit, pesakit harus mengambil ubat mengikut jadual dan menggantikan puasa di bulan yang lain. Ada pesakit yang berpuasa dan menerima rawatan suntikan di mana ubat boleh diambil di waktu malam. Dalam hal ini suntikan ubat tidak membatalkan puasa. Bahkan pesakit boleh terus berpuasa walaupun dia dimasukkan air sodium chloride atau darah di hospital atas sebab-sebab kesihatan. Memasukkan bahan-bahan berkenaan berbeza dengan memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang sudah tersedia. Berkaitan dengan isu ini ialah rawatan penyakit mata seperti konjunktivitis. Terdapat di dalam rawatan moden dan homeopati di mana ubat diberi dengan cara menitiskan airnya ke dalam mata. Sekiranya rawatan ini dilakukan, jelas sekali ia membatalkan puasa kerana ia melibatkan memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan. Bagi mereka yang mengidap penyakit-penyakit serius, keadaan yang menyebabkan mereka tidak boleh berpuasa mungkin disebabkan mereka terpaksa mengambil ubat-ubatan di dalam waktunya (termasuk sebelah siang) atau kemudaratan yang mungkin timbul kerana keadaan tubuh yang lemah atau berpenyakit. Bagi mendapatkan jawapan bagi persoalan sama ada mereka harus berpuasa atau tidak, perlulah si pesakit itu mendapat pandangan doktor dan ahli agama. Di antara penyakit-penyakit serius mungkin termasuk pesakit jantung, pengidap AIDS, kanser, kencing manis, buah pinggang, epilepsi, asma, gastrik yang teruk, pendarahan dan lain-lain lagi. Komplikasi mungkin berlaku sekiranya mereka berpuasa berterusan selama sebulan. Umumnya mereka diberi keringanan meninggalkan puasa dengan menggantikannya pada bulan yang, melainkan mereka yang tidak boleh berpuasa langsung. Kemungkinan memperoleh rawatan alternatif yang membolehkan seseorang itu berpuasa juga harus ditimbang sekiranya rawatan itu dapat membantu dan dapat memperbaiki keadaan kesihatan. Agama Islam tidak pernah membezakan di antara apa jua sistem rawatan yang wujud hari ini selagi ianya berkesan, tidak menyalahi akidah dan boleh membantu pesakit menjalani urusan harian atau beribadat. Kepercayaan bahawa setiap cabang ilmu itu datangnya daripada Allah subhanahu wa ta�ala adalah penting dalam memahami prinsip toleransi dalam memilih kaedah rawatan yang sesuai. Seperkara lagi ialah berkaitan dengan prosedur diagnosis. Di dalam amalan perubatan moden terdapat bentuk-bentuk diagnosis yang mungkin membatalkan puasa. Sementara sebahagian daripada diagnosis itu pula boleh diatur terlebih awal. Di dalam hal ini, pesakit boleh merancang tarikh dan waktu diagnosis dengan doktor sekiranya kaedah diagnosis itu boleh membatalkan puasa. Sebagai contoh ujian gastroskopi (gastroscopy), sigmoidoskopi (sigmoido-scopy) atau kolonoskopi (colonoscopy) adalah di antara kaedah diagnosis yang boleh membatalkan puasa. Sekiranya keadaan penyakit tidak mendesak, diagnosis boleh ditangguhkan atau dilakukan selepas bulan Ramadhan. Tetapi bagi kes-kes yang serius dan memerlukan tindakan segera, pesakit tidak harus menangguhkan temujanji yang telah dibuat. Puasa perlulah diganti pada hari yang lain. Oleh kerana puasa merupakan suatu ibadat yang dijalankan untuk suatu jangka masa yang panjang, bukan sahaja persediaan rohani dan mental pesakit perlu kuat. Keadaan fizikalnya juga mesti kuat dan berdaya tahan. Kita selalu sebut bahawa salah satu implikasi positif puasa ialah dari segi memberi kerehatan yang cukup kepada sistem pencernaan. Demikian juga kepada anggota lain yang berhubungan secara tidak langsung. Ini ada benarnya. Namun tanpa penjagaan kesihatan yang sempurna atau sikap mengambil berat terhadap pemakanan, seseorang boleh mengundang pelbagai penyakit di bulan puasa. Di antaranya ialah keracunan, cirit-birit dan taun. Ini berlaku kerana orang yang berpuasa memakan pelbagai jenis makanan dan membeli di gerai-gerai yang pemiliknya tidak peka tentang kebersihan. Lagi pun sebahagian daripada penjual di bulan puasa itu bukannya pernah menjadi peniaga melainkan di bulan puasa sahaja. Selepas berlalu puasa selama beberapa hari, kerapkali ada pula aduan lain. Ini biasanya timbul daripada mereka yang mengalami masalah sembelit. Sememangnya sembelit merupakan satu masalah kesihatan yang lumrah, khususnya di bulan puasa. Ini berlaku apabila seseorang itu kurang meminum air dan alpa untuk mengambil makanan yang mengandungi serat. Sebaliknya makanan yang manis-manis sahaja yang dikejar sebagai juadah berbuka puasa. Salah satu drama yang biasa menjadi buah mulut ialah serangan gastrik. Tetapi sebenarnya gastrik bukanlah sesuatu yang pelik. Oleh kerana pertukaran jadual makan, khususnya pada awal bulan puasa, memanglah ada orang yang perutnya sensitif akan merasa pedih bila tiba tengah hari. Kebanyakan individu menjadi biasa selepas beberapa hari. Bagi mereka yang tidak tahan dengan situasi berkenaan, terdapat beberapa kaedah untuk menghalang serangan sakit perut atau gastrik yang berkemungkinan besar diakibatkan oleh asid dalam perut. Di antaranya ialah dengan mengambil beberapa penawar homeopati dan biokimia tertentu. Penyakit-penyakit lain yang kerap ditemui di sepanjang bulan Ramadhan ialah tonsilitis, syanker mulut, sakit kerongkong, batuk, selsema dan lain-lain. Ia boleh menyerang dengan mudah di bulan puasa bagi individu yang tidak peka dengan amalan kebersihan, makanan seimbang dan kesihatan. Apa lagi bagi mereka yang sudah sedia ada penyakit yang dihidapi secara berterusan. Wanita yang hamil juga biasa mengalami masalah untuk meneruskan puasa. Masalah tersebut mungkin berkait dengan kesihatan diri ataupun bayi di dalam kandungan. Mereka yang mendapat alahan teruk ketika hamil seperti loya, muntah, sakit perut dan krem harus mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan. Bagi wanita hamil, Islam telahpun menetapkan kaedah-kaedah tertentu yang mengizinkan ibu-ibu meninggalkan puasa dan menggantikannya di kemudian hari. Bagi semua individu muslim, mustahak diingatkan bahawa setiap individu harus mengambil jumlah air minuman yang mencukupi di bulan puasa. Kurangkan amalan mengambil terlalu banyak minuman dan kuih-muih yang manis. Sebaliknya banyakkan meminum air suam atau air masak. Begitu juga, janganlah terlalu gelojoh dengan menyumbat sebanyak mungkin makanan sewaktu berbuka puasa. Adalah berfaedah sekiranya anda dapat mengurangkan pengambilan minuman berkafein dan merokok. Banyakkan mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran hijau. Buah-buahan seperti khurma, buah tin, prun dan limau amat baik dijadikan sajian berbuka puasa dan bersahur sebelum memakan nasi. Makanlah secukupnya di samping memberi ruang untuk kita bernafas dengan selesa. Bagi mereka yang merasa makanannya tidak membekalkan zat atau vitamin yang mencukupi, ada baiknya mengambil pil-pil tertentu seperti tablet vitamin B2, vitamin C dan multivitamin ataupun multimineral. Beberapa panduan lengkap berkaitan pemakanan boleh dirujuk kepada pakar pemakanan dan kesihatan maupun hospital. credit |
MENJUAL PELBABAI JENIS PRODUK KESIHATAN SHAKLEE (SUPPLEMENT)YANG SELAMAT UNTUK DI AMBIL. DAN BOLEH DAPATKAN KONSULTASI KESIHATAN SECARA PERCUMA DI SINI. JOM DAPATKAN DENGAN HARGA BERPATUTAN DAN BERBALOI HARI INI. BERMINAT: SMS (013-5019389)
JomShoppingUntukSihat
Monday 23 July 2012
PANDUAN KESIHATAN DI BULAN RAMADAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment